Tuesday 24 June 2014

Jom Belajar Buat Miang Kham

Teks : Sepiah Abdullah


Assalamualaikum.

Jom jom kita buat miang kham..pasal masak dan berkongsi resepi memang saya paling suka dan sangat seronok menjamu tetamu. Miang kham seperti yang saya tahu adalah makanan pembuka selera yang popular di Negara Thailand. Bahan utamanya adalah daun kadok segar. Sedari kecil saya memang telah terbiasa dengan hidangan ini mungkin juga kerana saya mempunyai saudara mara yang tinggal di Thailand. Setiap kali keluarga berkumpul Miang Kham adalah snek wajib bagi kami. 

Seperti yang kita tahu daun kadok adalah salah satu tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Daun kadok boleh juga dijadikan bahan dalam masakan iaitu seperti masak lemak kuning yang di campur dengan udang atau sebagainya ataupun di buat ulam dengan mencelurkan sebentar dan di makan dengan sambal belacan. Melalui pembacaan saya antara khasiat daun kadok ialah ia dapat merawat penyakit sembelit, sakit gigi, sakit malaria, cacing, lemah dan sakit-sakit tulang. Air rebusannya juga elok untuk selesema, sakit pinggang dan bisa-bisa tulang. Apapun bagi saya, bila kata ulam dan herba itu mesti bagus untuk kesihatan dan awet muda.  

Daun kadok adalah sejenis tumbuhan herba yang mudah hidup, senang membiak di kawasan yang lembap dan hidup liar. Daunnya seakan-akan daun sirih tetapi tidak memanjat seperti sirih dan kita selalu dengar peribahasa melayu "seperti kadok naik junjung" melalui sumber kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka yang bermaksud "Orang hina merasa dirinya mulia". 

Antara bahan-bahan untuk miang kham adalah seperti berikut: 

1.  SOS MIANG KHAM - 

-6 ketul besar gula melaka, 
-3 cawan air, 

bahan-bahan tumbuk atau di kisar kering iaitu :-
-1/2 cawan udang kering, -
-1/2 cawan kacang tanah yang telah di bakar atau dikoreng dan -
-1/2 cawan kelapa Goreng. 
-Sedikit garam

Didih kesemua bahan di atas dengan api perlahan sehingga agak pekat dan sejukkan. 
(Sos Miang kham boleh tahan lama dan sebaiknya disimpan di dalam peti ais)

2. BAHAN-BAHAN MIANG KHAM

- Daun kadok (direndam sebentar dengan garam, basuh dan toskan)
- Kacang Goreng/Bakar (dibuang kulitnya)
- Kelapa Goreng (sebji kelapa di hiris halus, digoreng atau dibakar)
- Udang kering (saya biasanya akan cuci dan digoreng tanpa minyak sebentar supaya kering semula)
- Halia (dipotong dadu (kecil)
- Bawang besar merah(dipotong dadu)
- Cili api (dihiris)
- Limau nipis (dibuang kulitnya dan dipotong dadu)


.
Bahan-bahannya amat mudah cuma menyediakan miang kham agak rumit, Apapun sekali makan memang tak mahu berhenti, Sangat sedap dan menyegarkan.

SELAMAT MENCUBA DAN AWET MUDA SELALU.

*Tunggu ya, saya akan kongsikan banyak lagi resepi di sini *
InsyaAllah




2 comments: