Monday 23 June 2014

Sahabat Dunia Akhirat

Teks : Sepiah Abdullah


Pada hari Sabtu yang lalu bertempat di Masjid Altaqwa Subang Permai seperti yang di rancang sebelum ini saya merasa sungguh teruja sekali gus hiba dapat bertemu sebahagian daripada sahabat-sahabat saya semasa kami menuntut di Univesiti Islam Antarabangsa Malaysia. Atas usaha dan kerja keras sahabat kami Pn. Wan Farlene dan Pn. Kasmani, program khatam Alquran serta tahlil berjalan dengan sempurna dan meriah. Program yang di ketuai oleh Ustazah Bahyah, jemaah wanita Majid serta pihak kami terdiri lebih kurang 50 orang kesemuanya.

Program yang dijangka akan dihadiri ramai oleh sahabat-sahabat kami tetap di teruskan walau ada yang di saat akhir tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat di elakkan. Sebagai isteri dan ibu, bukan mudah untuk kita dapat melepaskan diri keluar meninggalkan suami dan anak-anak di rumah pada hujung minggu sementelah lagi hari sabtu sebahagian anak-anak bersekolah. Saya sendiri pada paginya agak sedikit serba salah untuk hadir, suami pula kebetulan akan berangkat ke London pada malamnya. Mujur la segala keperluan saya dah selesaikan terlebih dahulu tinggal sebahagian yang perlu suami uruskan. Hati merasa serba salah antara berada di samping suami dan anak-anak atau bertemu sahabat-sahabat saya. 

Seawal pagi saya bangun menyediakan sarapan untuk anak-anak yang bersekolah, memasak nasi impit dan sambal hitam iaitu permintaan suami untuk bekal ke London serta menyediakan Daun Kadok iaitu makanan Thailand yang dikenali sebagai Miang Kham untuk saya bawa dan makan bersama-sama sahabat-sahabat saya nanti. InsyaAllah akan saya kongsikan resepi miang kam serta sambal hitam dalam ruang resepi di blog saya nanti. Alhamdulillah lebih kurang pukul 10 pagi segalanya selesai. Suami juga lah yang membungkus miang kam, menyusunnya di dalam kereta. Setiap kali saya terpaksa memandu sendirian saya merasa amat malu pada suami dengan keperihatinan suami bilamana kereta telah teesedia dengan minyak yang penuh, 'smart tag',  air minuman dan telefon saya tersedia dengan "waze' ke lokasi yang saya akan tuju, risau agaknya bila tahu saya memandu sendirian. Subhanallah, syukur padamu ya Allah dan terima kasih suamiku.

Setiba saya di Masjid Altaqwa Subang Permai, program baru bermula. Majlis Khatam Alquran serta Tahlil buat sahabat-sahabat kami yang telah pergi mendahului kami. Hati merasa pilu, terbayang wajah-wajah yang rapat semasa di universiti dan ada sebahagiannya baru sahaja beberapa bulan meninggalkan alam fana ini. Terfikir sendirian bila pula masa saya, semoga Allah panjangkan usia saya dan sahabat-sahabat saya yang ada agar dapat terus beribadat dan sekiranya sampai masa kami, matikanlah kami dalam Husnul Khotimah. 

Seusai majlis kami berjamu selera di anjung Masjid bersama jemaah wanita masjid. Sebahagian daripada kami membawa menu masing-masing dan suasana menjadi makin rancang dengan pelbagai telatah. Saya-merasa seronok bila dapat makan, berbual serta bergurau senda dengan sahabat-sahabat saya yang sebahagiannya sejak tahun 1995 tidak bersua muka. Seronok juga melihat sahabat-sahabat saya suka makan Miang Kham (Daun Kadok) yang di bawa. Indah sungguh saat-saat bersama sahabat-sahabat saya. Teringat kenangan ketika di Universiti dan di usia begini tiada yang lebih indah punya sahabat yang membahagiakan ketika kita hidup dan mendoakan ketika kita telah tiada. Sahabat itu tidak semestinya bertemu setiap waktu tetapi sahabat yang sentiasa mendoakan, menasihati serta mengharapkan kebaikan antara satu sama lain. Syukur padaMu Ya Allah sedari universiti sehingga kini kami di izinkan untuk terus bertemu, melakukan kebaikan serta menjalinkan hubungan silatulrahim sesama kami. 

Sahabat-sahabatku, semoga kita terus mendoakan dan kelakukan kebaikan antara satu sama lain. Dan kita berterusan bertemu dalam majlis-majlis sebegini di masa akan datang. InsyaAllah. 

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW 
bersabda yang bermaksud :-

"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana 
Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT' 
(Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment