Monday 23 June 2014

Japanese Rose - Portulaca Grandiflora

Teks : Sepiah Abdullah

Assalamualaikum..

Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan buat saya sangat teruja. sememangnya saya seorang yang gemarkan bunga dan pokok-pokok. Di mana sahaja saya tinggal pasti akan wujudlah taman indah dan menghijau.  Seolah bunga dan saya tidak boleh dipisahkan. Sesibuk macamanapun, saya akan pastikan laman saya indah, cantik dan menghijau. Japanese Rose, herba dan Ulam adalah antara pokok kegemaran saya.

Japanese Rose atau lebih di kenali sebagai Ros Jepun (saya sendiripun kurang pasti kenapa bunga ini di panggil Ros Jepun) berasal daripada keluarga Portulacaceae dengan nama saintifiknya Portulaca Grandiflora. Bila saya amati bunganya di wikipedia ianya seakan sama dengan Rosa Rugosa iaitu sejenis pokok ros kecuali terdapat perbezaan pada daunnya.

Ros Jepun  juga mempunyai nama-nama lain seperti "Rose Moss", "Flower at Ten" , "Sun Plant" , "Japanese Rose" serta beberapa nama lain yang saya kurang pasti. Ros Jepun ini adalah pokok yang mudah saja untuk ditanam dan di kembang biak. Hanya dengan pembiakan melalui keratan batang, tanah yang mempunyai aliran yang baik serta hendaklah terdedah pada cahaya matahari. Mungkin dipanggil "Flower at Ten" kerana bunga akan mekar berkembang ketika jam 10-11 pagi dan akan kuncup pada petangnya. Apa yang menariknya Ros Jepun mempunyai terlalu banyak corak dan warna sehingga saya sendiri tidak dapat mencari jawapan berapa jenis dan corak kah Ros Jepun sebenarnya. 

Setakat ini saya telah memiliki lebih daripada 40 jenis corak dan warna, malah terdapat berpuluh lagi corak dan warna yang tiada dalam koleksi saya. Kerana minta sangat dengan Ros Jepun ini setiap kali melewati nursery pokok saya pasti berhenti menjengah. Halaman rumah saya seperti berada di Holland, penuh dengan pelbagai warna Ros Jepun dan keseronokan melihat bunga yang subur merimbun menyebabkan saya terus mendapatkan koleksi demi koleksi. Saya tidak akan berhenti sehingga lah saya mungkin tidak dapat bertemu lagi dengan corak serta warna seterusnya.

Setiap pagi, sekiranya berkelapangan sudah pasti saya akan berada di laman indah saya membelai dan mengamati keindahan ciptaan Allah. Subhanallah tidak terucap cantiknya kuntum-kuntum Ros Jepun yang mekar di laman. Anak-anak juga pasti bersorak riang setiap kali melihat koleksi-koleksi baru Ros Jepun saya berkembang. Pujian Anak-anak ketika melihat Ros Jepun itu mekar sudah cukup membahagiakan saya. Sekali kala saya kongsikan gambar-gambar Ros Jepun yang mekar di Facebook saya atau group untuk tatapan dan perkongsian dengan rakan-rakan. 


Lebih melucukan sekarang, bila hendak keluar saya pasti menguncikan pintu pagar rumah. Sayangnya saya pada Rose Jepun tersebut serta takut-takut kehilangan koleksi saya. Memandangkan Ros Jepun adalah sejenis tumbuhan yang mudah hidup jadi dengan keratan batang yang dipatahkan boleh sahaja di kembang biak. Tapi Tentu sahaja tidak elok mencuri sesuatu yang tuan bunganya telah berhempas pulas mencari koleksi di serata tempat termasuk melalui sistem barter, menukar dengan kawan-kawan yang sama hobi, kadang-kadang sejauh sabah dan sarawak, juga memujuk serta membeli koleksi daripada kawan-kawan yang lain. Ada di kalangan rakan-rakan saya yang mengeluh dan kecewa bila Ros Jepun yang mereka tanam terutama di luar pagar kerap di curi.

Setiap minggu pasti ada sahaja keratan Ros Jepun yang dihantar melalui pos laju untuk rakan-rakan atau pembeli yang membeli secara online. Biasanya jualan dengan keratan batang lebih mudah dan selalunya keratan tersebut boleh bertahan lebih kurang seminggu dengan mengetahui cara-cara pembungkusan yang betul. Sekiranya anda rajin ianya boleh juga mendatangkan pendapatan tambahan walaupun dalam skala yang kecil. walaubagaimanapun,  sekiranya bersungguh, mempunyai masa dan tenaga anda boleh juga menjadikan ianya satu cabang perniagaan. Tidak sangka hobi mengumpul koleksi Ros Jepun boleh mendatangkan pendapatan. Pendapatan tersebut boleh juga digunakan untuk membeli baja dan sebagainya bagi tujuan penanaman Ros Jepun. Selain berjualbeli kita juga dapat menambah kawan, berkongsi minat yang sama dengan rakan-rakan serta peminat Ros Jepun di luar sana. 


Setiap hari jam 10 pagi hati pasti jatuh cinta melihat mekarmu...MY JR.

 

1 comment: