Monday, 19 May 2014

Kerana Kasih ku..

Assalamualaikum

Alhamdulillah hari ini dalam suasana yang sunyi, nyaman dan suara anak-anak tidak kedengaran sementelah mereka berada di Sekolah. Saya mengambil sedikit ruang untuk menulis entri pengenalan di dalam blog ini. Nama saya Sepiah Abdullah dan lebih di kenali sebagai Na Abdullah. Saudara mara dan rakan memanggil saya Na sedari kecil, amat sukar untuk saya menukar panggilan itu. Saya merupakan graduan lulusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seusai habis belajar di universiti dan latihan dalam kamar saya menjadi rakan kongsi di sebuah firma guaman dan tugas saya lebih mengfokuskan pada kerja-kerja 'conveyancing' dan pengurusan pejabat dan kakitangan. Kehidupana seharian saya ketika itu berada di pejabat, berjumpa pelangan sert melakukan kerja-kerja yang melibatkan hartanah dan perbankan. Masa berlalu, anak-anak semakin ramai dan meningkat dewasa. Saya sedar mereka memerlukan lebih tumpuan dari saya. Inilah dilema kita sebagai ibu, antara kerjaya, ekonomi dan anak-anak. 

Masa berlalu, bilamana saya mengurangkan kerja-kerja perundangan dan alhamdulillah dengan kelebihan yang Allah anugerahkan buat saya, saya memulakan kerja-kerja kreatif seperti gubahan bunga, hantaran dan hamper/korporat hamper. Saya merasa puas walau kadang-kadang naik mabuk dan hampir pitam apabila di setiap ruang rumah saya, ruang tamu, ruang televisyen, ruang makan, di atas sofa, di atas meja di sepanjang tangga dipenuhi bakul-bakul hamper. cookies, bunga dan reben-reben. Anak-anak pun seronok dapat turut serta berkreatif dengan ibu mereka. Saya juga sangat suka pada fesyen pakaian, tudung dan sebagainya, Akhirnya saya membuat keputusan utntuk membuka butik pakaian dan hamper supaya bila pulang ke rumah saya dapat berehat bersama keluarga sepenuhnya. Maka lahirlah butik saya dengan nama Nadwa Boutique & Hamper Shoppe dan fanpage iaitu https://www.facebook.com/NadwaBoutiqueHampershoppe

Pertengahan tahun lepas dengan rasa berat hati saya terpaksa berpindah meninggalkan negeri Melaka yang hijau, cantik dan indah tempat saya menetap semenjak habis universiti iaitu pada tahun 1995 untuk mengikuti suami dan kini kami tinggal di Bangi. Suami saya berkerja di Kuala Lumpur dan katanya sudah tidak terdaya berulangalik melaka kuala Lumpur. Saya turut meletak jawatan sebagai rakan kongsi di firma guaman, meninggalkan butik yang dipertanggunjawabkan pada staff yang amat saya sayangi Eqa, meninggalkan kejiranan yang selesa, sahabat-sahabat yang sungguh baik dan menghiburkan. 

Di Bangi pada awalnya merasa sangat tidak selesa dengan suasana yang berlainan kerana sepenuh masa berada di rumah dan merasa sedikit janggal kecuali rasa bahagia dapat berdekatan dan berjumpa selalu dengan mama saya yang sememangnya menetap di sini. Saya banyak menghabiskan masa dengan anak-anak, menguruskan persekolahan mereka dan sebagainya. Saya juga meluangkan masa berkreatif dengan membuat hantaran serta gubahan bunga apabila ada majlis pertunangan dan perkahwinana adik-adik mahupun sepupu. Saya juga mengambil kesempatan dengan kelapangan yang Allah berikan untuk membaca buku-buku yang sebahagiannya tidak pernah khatam. Saya gemar membaca buku motivasi, buku-buku yang berkisarkan sirah Nabi, sejarah Islam, majalah-majalah fesyen, buku-buku resepi dan laman kerana saya juga gemar memasak dan berkebun.
Tinggal di Bangi kami sekeluarga bersepakat tidak mahu punya bibik dan kami melakukan kerja bersama-sama, dalam masa yang sama melatih anak-anak lebih berdikari. Nampaknya anak-anak saya sudah pandai berkemas, menguruskan diri sendiri dan melakukan kerja-kerja rumah. Perlahan-lahan saya cuba menyesuaikan diri di sini, saya kini sedang mengaktifkan kembali fanpage Nadwa Boutique & Hamper Shoppe dan dengan memulakan blog ini melalui Akademi Berkerja Dari Rumah, hati saya merasa teruja untuk terus menulis serta berkongsi ilmu dan pengalaman di sini.. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment