Thursday, 26 June 2014

Tip buat anak-anak menghafal doa, zikir serta menimba ilmu secara mudah.

Teks : Sepiah Abdullah



Assalamualaikum,.


Seawal jam 5.30 pagi setiap hari pasti saya sudah bangkit, bersedia untuk solat dan mengejutkan anak-anak untuk bersedia ke sekolah. Sekiranya berkesempatan saya akan memasak atau menyediakn sarapan untuk anak-anak sekira tidak mereka cuma menjamah biskut atau roti. Saya selalu bergurau dengan anak-anak " okey ya, hari ni mama tak masak, kita makan biskut kering sahaja'. Anak-anak saya akan jawab " okey mama, kita orang ok je" Alhamdulillah mereka memang anak-anak yang baik. walaupun penat teramat menguruskan seramai tujuh orang yang berada di rumah dari yang kecil seumur 9 tahun hingga lah yang belajar di kolej tapi saya bersyukur kerana mereka anak-anak yang taat. 

Minggu ini tugas saya bertambah memandangkan suami berada di London seminggu. InsyaAllah ahad ini kembali ke tanahair dan menurut suami mungkin akan bersahur di dalam kapalterbang. Hari-hari biasanya kami suami isteri akan bahagikan tugas menghantar anak-anak, tetapi minggu ini saya terpaksa menguruskan dan menjadi mama supir dari pagi sehingga ke malam untuk kelas-kelas tuisyen . Setiap pagi menjadi supir untuk empat tempat berasingan, sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama, Sekolah Menengah dan Kolej. Anak bujang saya tidak mahu tinggal di asrama memandangkan kolejnya berdekatan dengan rumah kami.

Saya selalu berpesan pada diri saya untuk terus tabah, kuat dan jadilah "superwoman". walau kadang-kadang emosi datang mengusik untuk rasa penat, sedih dan terbeban. Saya mesti kuat untuk terus mendidik, menjaga dan memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan baik. Setiap kali memandu dan berada di dalam kereta saya menggunakan masa-masa tersebut untuk berbual, berbincang, nasihat serta memberi motivasi buat anak-anak. Segala ilmu daripada pembacaan saya, saya akan kongsikan dengan anak-anak. Sepanjang perjalanan, sebelum memulakan pembelajaran di sekolah saya akan pastikan mereka membaca doa, Alfatihah 7 kali disedekahkan buat Rasulullah SAW, keluarga dan sahabat-sahabat Rasulullah SAW, Muslimin muslimat yang masih hidup atau telah tiada, kemudahan pembelajaran dan hidup mereka, ibuayah serta alfatihah buat diri mereka dan seterunya berdoa untuk diri mereka, memohon apa sahaja yang mereka hajati.  Mereka akan berzikir dan saban hari akan saya tambahkan amalan doa dan zikir untuk mereka hafal. 

Sebagai ibuayah kita mungkin tidak punya banyak masa untuk mengajar anak-anak doa dan zikir. Anak-anak dihantar ke sekolah,, ke pusat tuisyen, atau pada ustaz dan ustazah untuk belajar dan mengaji. Samaada kesibukan kita menguruskan rumahtangga, mencari rezeki atau mungkin jadual anak-anak yang terlalu padat. Saya kadang-kadang merasa sungguh simpati melihat anak-anak bila tiba waktu malamnya sudah tertidur kepenatan. Masa bersama di dalam kereta  sewaktu perjalanan ke sekolah atau makan angin adalah masa yang terbaik untuk kita memastikan adakah anak-anak kita menghafal doa-doa, zikir, ayat-ayat suci paling tidah surah-surah lazim. Kita juga boleh menambah ilmu pengetahuan anak-anak dengan berkongsi apa sahaja kisah atau makluman daripada pembacaan kita. Mereka mungkin tidahk berkesempatan untuk membaca buku-buku umum atau mereka sememangnya tidak suka dengan buku-buku begitu yang mungkin menurut mereka lebih  sesuai untuk orang-orang dewasa sedangkan ilmu di dalamnya baik untuk kelangsungan hidup mereka. Menggunakan masa sepenuhnya setelah tidak berkerja saya mencuri sedikit masa setiap hari  untuk mentelaah agar ilmu tersebut dapat saya kongsikan dengan anak-anak. Mereka mungkin merasa seronok mendengar cerita yang ibu mereka olah daripada membaca tulisan-tulisan yang mungkin buat mereka bosan.

Semasa cuti persekolahan yang lepas, apabila dalam perjalanan ke Utara Malaysia, saya cuba menguji anak-anak dengan bertanya tentang peta Malaysia, negeri serta ibu negeri di dalam Malaysia. Saya dan suami saling berpandangan bila jawapan anak-anak agak keliru dan lintang pukang. Mungkin mereka tidak diajar di sekolah tetapi kami menyangka anak-anak pastinya tahu. Dan saya  mengambil peluang sepanjang perjalanan menjadi cikgu Geografi sebentar, melukis peta Malaysia dan menjelaskan pada anak-anak dengan terperinci. Anak-anak amat suka dan teruja pula untuk belajar memandangkan mereka telah pergi ke kebanyakkan negeri-negeri di Malaysia, masing-masing dengan nota di tangan mencatat dan menulis. Satu kelebihan anak-anak saya, mereka suka mambawa nota kecil dan pencil apabila keluar dan selalunya saya lihat mereka mencatat, buat kuiz, melukis atau menconteng.



Semoga kita menjadi ibu yang tidak akan pernah berputus asa dalam mendidik anak-anak.
InsyaAllah


Tuesday, 24 June 2014

Jom Belajar Buat Miang Kham

Teks : Sepiah Abdullah


Assalamualaikum.

Jom jom kita buat miang kham..pasal masak dan berkongsi resepi memang saya paling suka dan sangat seronok menjamu tetamu. Miang kham seperti yang saya tahu adalah makanan pembuka selera yang popular di Negara Thailand. Bahan utamanya adalah daun kadok segar. Sedari kecil saya memang telah terbiasa dengan hidangan ini mungkin juga kerana saya mempunyai saudara mara yang tinggal di Thailand. Setiap kali keluarga berkumpul Miang Kham adalah snek wajib bagi kami. 

Seperti yang kita tahu daun kadok adalah salah satu tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Daun kadok boleh juga dijadikan bahan dalam masakan iaitu seperti masak lemak kuning yang di campur dengan udang atau sebagainya ataupun di buat ulam dengan mencelurkan sebentar dan di makan dengan sambal belacan. Melalui pembacaan saya antara khasiat daun kadok ialah ia dapat merawat penyakit sembelit, sakit gigi, sakit malaria, cacing, lemah dan sakit-sakit tulang. Air rebusannya juga elok untuk selesema, sakit pinggang dan bisa-bisa tulang. Apapun bagi saya, bila kata ulam dan herba itu mesti bagus untuk kesihatan dan awet muda.  

Daun kadok adalah sejenis tumbuhan herba yang mudah hidup, senang membiak di kawasan yang lembap dan hidup liar. Daunnya seakan-akan daun sirih tetapi tidak memanjat seperti sirih dan kita selalu dengar peribahasa melayu "seperti kadok naik junjung" melalui sumber kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka yang bermaksud "Orang hina merasa dirinya mulia". 

Antara bahan-bahan untuk miang kham adalah seperti berikut: 

1.  SOS MIANG KHAM - 

-6 ketul besar gula melaka, 
-3 cawan air, 

bahan-bahan tumbuk atau di kisar kering iaitu :-
-1/2 cawan udang kering, -
-1/2 cawan kacang tanah yang telah di bakar atau dikoreng dan -
-1/2 cawan kelapa Goreng. 
-Sedikit garam

Didih kesemua bahan di atas dengan api perlahan sehingga agak pekat dan sejukkan. 
(Sos Miang kham boleh tahan lama dan sebaiknya disimpan di dalam peti ais)

2. BAHAN-BAHAN MIANG KHAM

- Daun kadok (direndam sebentar dengan garam, basuh dan toskan)
- Kacang Goreng/Bakar (dibuang kulitnya)
- Kelapa Goreng (sebji kelapa di hiris halus, digoreng atau dibakar)
- Udang kering (saya biasanya akan cuci dan digoreng tanpa minyak sebentar supaya kering semula)
- Halia (dipotong dadu (kecil)
- Bawang besar merah(dipotong dadu)
- Cili api (dihiris)
- Limau nipis (dibuang kulitnya dan dipotong dadu)


.
Bahan-bahannya amat mudah cuma menyediakan miang kham agak rumit, Apapun sekali makan memang tak mahu berhenti, Sangat sedap dan menyegarkan.

SELAMAT MENCUBA DAN AWET MUDA SELALU.

*Tunggu ya, saya akan kongsikan banyak lagi resepi di sini *
InsyaAllah




Monday, 23 June 2014

Japanese Rose - Portulaca Grandiflora

Teks : Sepiah Abdullah

Assalamualaikum..

Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan buat saya sangat teruja. sememangnya saya seorang yang gemarkan bunga dan pokok-pokok. Di mana sahaja saya tinggal pasti akan wujudlah taman indah dan menghijau.  Seolah bunga dan saya tidak boleh dipisahkan. Sesibuk macamanapun, saya akan pastikan laman saya indah, cantik dan menghijau. Japanese Rose, herba dan Ulam adalah antara pokok kegemaran saya.

Japanese Rose atau lebih di kenali sebagai Ros Jepun (saya sendiripun kurang pasti kenapa bunga ini di panggil Ros Jepun) berasal daripada keluarga Portulacaceae dengan nama saintifiknya Portulaca Grandiflora. Bila saya amati bunganya di wikipedia ianya seakan sama dengan Rosa Rugosa iaitu sejenis pokok ros kecuali terdapat perbezaan pada daunnya.

Ros Jepun  juga mempunyai nama-nama lain seperti "Rose Moss", "Flower at Ten" , "Sun Plant" , "Japanese Rose" serta beberapa nama lain yang saya kurang pasti. Ros Jepun ini adalah pokok yang mudah saja untuk ditanam dan di kembang biak. Hanya dengan pembiakan melalui keratan batang, tanah yang mempunyai aliran yang baik serta hendaklah terdedah pada cahaya matahari. Mungkin dipanggil "Flower at Ten" kerana bunga akan mekar berkembang ketika jam 10-11 pagi dan akan kuncup pada petangnya. Apa yang menariknya Ros Jepun mempunyai terlalu banyak corak dan warna sehingga saya sendiri tidak dapat mencari jawapan berapa jenis dan corak kah Ros Jepun sebenarnya. 

Setakat ini saya telah memiliki lebih daripada 40 jenis corak dan warna, malah terdapat berpuluh lagi corak dan warna yang tiada dalam koleksi saya. Kerana minta sangat dengan Ros Jepun ini setiap kali melewati nursery pokok saya pasti berhenti menjengah. Halaman rumah saya seperti berada di Holland, penuh dengan pelbagai warna Ros Jepun dan keseronokan melihat bunga yang subur merimbun menyebabkan saya terus mendapatkan koleksi demi koleksi. Saya tidak akan berhenti sehingga lah saya mungkin tidak dapat bertemu lagi dengan corak serta warna seterusnya.

Setiap pagi, sekiranya berkelapangan sudah pasti saya akan berada di laman indah saya membelai dan mengamati keindahan ciptaan Allah. Subhanallah tidak terucap cantiknya kuntum-kuntum Ros Jepun yang mekar di laman. Anak-anak juga pasti bersorak riang setiap kali melihat koleksi-koleksi baru Ros Jepun saya berkembang. Pujian Anak-anak ketika melihat Ros Jepun itu mekar sudah cukup membahagiakan saya. Sekali kala saya kongsikan gambar-gambar Ros Jepun yang mekar di Facebook saya atau group untuk tatapan dan perkongsian dengan rakan-rakan. 


Lebih melucukan sekarang, bila hendak keluar saya pasti menguncikan pintu pagar rumah. Sayangnya saya pada Rose Jepun tersebut serta takut-takut kehilangan koleksi saya. Memandangkan Ros Jepun adalah sejenis tumbuhan yang mudah hidup jadi dengan keratan batang yang dipatahkan boleh sahaja di kembang biak. Tapi Tentu sahaja tidak elok mencuri sesuatu yang tuan bunganya telah berhempas pulas mencari koleksi di serata tempat termasuk melalui sistem barter, menukar dengan kawan-kawan yang sama hobi, kadang-kadang sejauh sabah dan sarawak, juga memujuk serta membeli koleksi daripada kawan-kawan yang lain. Ada di kalangan rakan-rakan saya yang mengeluh dan kecewa bila Ros Jepun yang mereka tanam terutama di luar pagar kerap di curi.

Setiap minggu pasti ada sahaja keratan Ros Jepun yang dihantar melalui pos laju untuk rakan-rakan atau pembeli yang membeli secara online. Biasanya jualan dengan keratan batang lebih mudah dan selalunya keratan tersebut boleh bertahan lebih kurang seminggu dengan mengetahui cara-cara pembungkusan yang betul. Sekiranya anda rajin ianya boleh juga mendatangkan pendapatan tambahan walaupun dalam skala yang kecil. walaubagaimanapun,  sekiranya bersungguh, mempunyai masa dan tenaga anda boleh juga menjadikan ianya satu cabang perniagaan. Tidak sangka hobi mengumpul koleksi Ros Jepun boleh mendatangkan pendapatan. Pendapatan tersebut boleh juga digunakan untuk membeli baja dan sebagainya bagi tujuan penanaman Ros Jepun. Selain berjualbeli kita juga dapat menambah kawan, berkongsi minat yang sama dengan rakan-rakan serta peminat Ros Jepun di luar sana. 


Setiap hari jam 10 pagi hati pasti jatuh cinta melihat mekarmu...MY JR.

 

Sahabat Dunia Akhirat

Teks : Sepiah Abdullah


Pada hari Sabtu yang lalu bertempat di Masjid Altaqwa Subang Permai seperti yang di rancang sebelum ini saya merasa sungguh teruja sekali gus hiba dapat bertemu sebahagian daripada sahabat-sahabat saya semasa kami menuntut di Univesiti Islam Antarabangsa Malaysia. Atas usaha dan kerja keras sahabat kami Pn. Wan Farlene dan Pn. Kasmani, program khatam Alquran serta tahlil berjalan dengan sempurna dan meriah. Program yang di ketuai oleh Ustazah Bahyah, jemaah wanita Majid serta pihak kami terdiri lebih kurang 50 orang kesemuanya.

Program yang dijangka akan dihadiri ramai oleh sahabat-sahabat kami tetap di teruskan walau ada yang di saat akhir tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat di elakkan. Sebagai isteri dan ibu, bukan mudah untuk kita dapat melepaskan diri keluar meninggalkan suami dan anak-anak di rumah pada hujung minggu sementelah lagi hari sabtu sebahagian anak-anak bersekolah. Saya sendiri pada paginya agak sedikit serba salah untuk hadir, suami pula kebetulan akan berangkat ke London pada malamnya. Mujur la segala keperluan saya dah selesaikan terlebih dahulu tinggal sebahagian yang perlu suami uruskan. Hati merasa serba salah antara berada di samping suami dan anak-anak atau bertemu sahabat-sahabat saya. 

Seawal pagi saya bangun menyediakan sarapan untuk anak-anak yang bersekolah, memasak nasi impit dan sambal hitam iaitu permintaan suami untuk bekal ke London serta menyediakan Daun Kadok iaitu makanan Thailand yang dikenali sebagai Miang Kham untuk saya bawa dan makan bersama-sama sahabat-sahabat saya nanti. InsyaAllah akan saya kongsikan resepi miang kam serta sambal hitam dalam ruang resepi di blog saya nanti. Alhamdulillah lebih kurang pukul 10 pagi segalanya selesai. Suami juga lah yang membungkus miang kam, menyusunnya di dalam kereta. Setiap kali saya terpaksa memandu sendirian saya merasa amat malu pada suami dengan keperihatinan suami bilamana kereta telah teesedia dengan minyak yang penuh, 'smart tag',  air minuman dan telefon saya tersedia dengan "waze' ke lokasi yang saya akan tuju, risau agaknya bila tahu saya memandu sendirian. Subhanallah, syukur padamu ya Allah dan terima kasih suamiku.

Setiba saya di Masjid Altaqwa Subang Permai, program baru bermula. Majlis Khatam Alquran serta Tahlil buat sahabat-sahabat kami yang telah pergi mendahului kami. Hati merasa pilu, terbayang wajah-wajah yang rapat semasa di universiti dan ada sebahagiannya baru sahaja beberapa bulan meninggalkan alam fana ini. Terfikir sendirian bila pula masa saya, semoga Allah panjangkan usia saya dan sahabat-sahabat saya yang ada agar dapat terus beribadat dan sekiranya sampai masa kami, matikanlah kami dalam Husnul Khotimah. 

Seusai majlis kami berjamu selera di anjung Masjid bersama jemaah wanita masjid. Sebahagian daripada kami membawa menu masing-masing dan suasana menjadi makin rancang dengan pelbagai telatah. Saya-merasa seronok bila dapat makan, berbual serta bergurau senda dengan sahabat-sahabat saya yang sebahagiannya sejak tahun 1995 tidak bersua muka. Seronok juga melihat sahabat-sahabat saya suka makan Miang Kham (Daun Kadok) yang di bawa. Indah sungguh saat-saat bersama sahabat-sahabat saya. Teringat kenangan ketika di Universiti dan di usia begini tiada yang lebih indah punya sahabat yang membahagiakan ketika kita hidup dan mendoakan ketika kita telah tiada. Sahabat itu tidak semestinya bertemu setiap waktu tetapi sahabat yang sentiasa mendoakan, menasihati serta mengharapkan kebaikan antara satu sama lain. Syukur padaMu Ya Allah sedari universiti sehingga kini kami di izinkan untuk terus bertemu, melakukan kebaikan serta menjalinkan hubungan silatulrahim sesama kami. 

Sahabat-sahabatku, semoga kita terus mendoakan dan kelakukan kebaikan antara satu sama lain. Dan kita berterusan bertemu dalam majlis-majlis sebegini di masa akan datang. InsyaAllah. 

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW 
bersabda yang bermaksud :-

"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana 
Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT' 
(Hadis Riwayat Muslim)

Sunday, 22 June 2014

Hamper - Sebagai Ingatan Dan Kasih Sayang

Teks :  Sepiah Abdullah


Assalamualalikum..

Seminggu lagi Ramadhan menjelang, terasa semua orang begitu sibuk berniaga dan mengejar setiap peluang untuk menambah pendapatan. Inilah masanya peniaga-peiaga meningkatkan jualan. Gerai dan bazar tumbuh bagai cendawan. Ibarat tepuk dada tanya selera, nak berniaga atau tidak sahaja. Ada sebahagian insan di anugerahkan kudrat luar biasa hebat, mereka berniaga siang malam dan saya sememangnya sangat kagum.

Bagi saya kedatangan ramadhan dan hari raya akan juga disibukkan dengan tempahan hamper dan 'goodies' untuk ramadhan dan hari raya. Buah tangan buat ibu ayah, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, majikan, rakan korporat serta kakitangan yang tentunya paling banyak menyumbang ke atas kemajuan sebuah organisasi dan perniagaan. Konsep yang saya selalu ketengahkan apabila membuat hamper adalah sentuhan dan hasil kreatif gubahan hamper itu sendiri yang mampu si penerima ingat dan teruja apabila menerima. Biarpun comel tapi cantik di pandang dan bererti. Anda tidak perlu memberi hamper yang teramat besar tapi tidak cantik dan isi di dalamnya tidak enak di makan. Biarlah kecil comel tapi teramat cantik serta di dalamnya di isi dengan kuih, biskut atau apa sahaja yang enak dan berkhasiat. Si penerima akan ingat anda bila mereka teringat akan keindahan hamper/buah tangan serta keenakkan makanan di dalamnya yang anda beri.

Saya masih teringat suatu ketika saya menyediakan 'goodies' tempahan sebuah jabatan kerajaan untuk suatu majlis. Kebetulan saya ke utara Malaysia sebelumnya jadi saya memborong beberapa makanan tradisional di sana sebagai bahan yang saya bakal masukkan ke dalam 'goodies' saya. Beberapa hari setelah 'goodies itu dihantar maksudnya setelah selesai majlis tersebut, ada seseorang menelefon saya mengatakan bahawa puas beliau cuba untuk dapatkan nombor telefon saya. Katanya beliau menerima satu beg goodies semasa majlis yang beliau hadiri dan bila pulang ke rumah di berinya 'goodies' tersebut pada kakaknya yang sedang mengandung. Apa yang berlaku ialah kakaknya meminta untuk makan lagi kuih tradisional yang ada di dalam 'goodies' tersebut. Ceritanya, "saya puas juga mencari orang utara untuk mendapatkan kuih tersebut bagi memenuhi permintaan orang yang dikira mengidam." Di sini saya cuma ingin sampaikan bahawa betapa pentingnnya untuk kita bsewaktu memberi, biarlah memberi sesuatu yang indah serta enak, memberi sesuatu yang sukar untuk di tolak atau dilupakan oleh penerima.

Pada tahun-tahun sebelumnya saya begitu teruja tidak kenal siang malam bertukus lumus menyedia dan mengubah hamper untuk pelanggan. Malah dengan tempahan yang tidak putus saya mengupah pelajar universiti untuk membantu saya. Tentu sahaja mereka suka melakukan kerja tambahan untuk menabung bagi persediaan hari raya mereka. Kepenatan memang terasa sangat tapi puas dapat menyediakan tempahan pelangan, melihat hasil gubahan hamper serta dengan pendapatan lumayan yang saya terima. Alhamdulillah Allah kurniakan tangan yang kreatif buat saya. Mudahan suatu hari nanti tangan ini mampu manfaatkan ilmu yang ada untk mengajar sesiapa sahaja yang berminat dalam gubahan hamper.

Tahun ini saya tetap akan mangambil tempahan hamper serta menyediakan yang terbaik tetapi saya akan menghadkan untuk jumlah tertentu. Semoga Allah memberi kemudahan Ramadhan ini untuk lebih memperbanyakkan dan perbaiki amalan saya untuk tahun ini, juga memberi lebih tumpuan buah anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan penting hujung tahun ini. Saya selalu mengingatkan diri bahawa di dunia semestinya kita bekerja dan berusaha tetapi hendaklah sentiasa ingat bila-bila sahaja kita akan tinggalkan segalanya dan yang bakal kita bawa hanya lah amalan kita serta anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan kita.

Menjelang hari raya, semua orang bakal teruja terutama peniaga-peniaga. Walau bagaimanapun semoga kita juga tidak lupa meningkatkan amalan kita di bulan ramadhan sebagaimana kita meningkatkan jualan kita menjelang hari raya yang bakal tiba.


*Salam Ramadhan