Teks : Sepiah Abdullah
Assalamualaikum,.
Seawal jam 5.30 pagi setiap hari pasti saya sudah bangkit, bersedia untuk solat dan mengejutkan anak-anak untuk bersedia ke sekolah. Sekiranya berkesempatan saya akan memasak atau menyediakn sarapan untuk anak-anak sekira tidak mereka cuma menjamah biskut atau roti. Saya selalu bergurau dengan anak-anak " okey ya, hari ni mama tak masak, kita makan biskut kering sahaja'. Anak-anak saya akan jawab " okey mama, kita orang ok je" Alhamdulillah mereka memang anak-anak yang baik. walaupun penat teramat menguruskan seramai tujuh orang yang berada di rumah dari yang kecil seumur 9 tahun hingga lah yang belajar di kolej tapi saya bersyukur kerana mereka anak-anak yang taat.
Minggu ini tugas saya bertambah memandangkan suami berada di London seminggu. InsyaAllah ahad ini kembali ke tanahair dan menurut suami mungkin akan bersahur di dalam kapalterbang. Hari-hari biasanya kami suami isteri akan bahagikan tugas menghantar anak-anak, tetapi minggu ini saya terpaksa menguruskan dan menjadi mama supir dari pagi sehingga ke malam untuk kelas-kelas tuisyen . Setiap pagi menjadi supir untuk empat tempat berasingan, sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Agama, Sekolah Menengah dan Kolej. Anak bujang saya tidak mahu tinggal di asrama memandangkan kolejnya berdekatan dengan rumah kami.
Saya selalu berpesan pada diri saya untuk terus tabah, kuat dan jadilah "superwoman". walau kadang-kadang emosi datang mengusik untuk rasa penat, sedih dan terbeban. Saya mesti kuat untuk terus mendidik, menjaga dan memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan baik. Setiap kali memandu dan berada di dalam kereta saya menggunakan masa-masa tersebut untuk berbual, berbincang, nasihat serta memberi motivasi buat anak-anak. Segala ilmu daripada pembacaan saya, saya akan kongsikan dengan anak-anak. Sepanjang perjalanan, sebelum memulakan pembelajaran di sekolah saya akan pastikan mereka membaca doa, Alfatihah 7 kali disedekahkan buat Rasulullah SAW, keluarga dan sahabat-sahabat Rasulullah SAW, Muslimin muslimat yang masih hidup atau telah tiada, kemudahan pembelajaran dan hidup mereka, ibuayah serta alfatihah buat diri mereka dan seterunya berdoa untuk diri mereka, memohon apa sahaja yang mereka hajati. Mereka akan berzikir dan saban hari akan saya tambahkan amalan doa dan zikir untuk mereka hafal.
Sebagai ibuayah kita mungkin tidak punya banyak masa untuk mengajar anak-anak doa dan zikir. Anak-anak dihantar ke sekolah,, ke pusat tuisyen, atau pada ustaz dan ustazah untuk belajar dan mengaji. Samaada kesibukan kita menguruskan rumahtangga, mencari rezeki atau mungkin jadual anak-anak yang terlalu padat. Saya kadang-kadang merasa sungguh simpati melihat anak-anak bila tiba waktu malamnya sudah tertidur kepenatan. Masa bersama di dalam kereta sewaktu perjalanan ke sekolah atau makan angin adalah masa yang terbaik untuk kita memastikan adakah anak-anak kita menghafal doa-doa, zikir, ayat-ayat suci paling tidah surah-surah lazim. Kita juga boleh menambah ilmu pengetahuan anak-anak dengan berkongsi apa sahaja kisah atau makluman daripada pembacaan kita. Mereka mungkin tidahk berkesempatan untuk membaca buku-buku umum atau mereka sememangnya tidak suka dengan buku-buku begitu yang mungkin menurut mereka lebih sesuai untuk orang-orang dewasa sedangkan ilmu di dalamnya baik untuk kelangsungan hidup mereka. Menggunakan masa sepenuhnya setelah tidak berkerja saya mencuri sedikit masa setiap hari untuk mentelaah agar ilmu tersebut dapat saya kongsikan dengan anak-anak. Mereka mungkin merasa seronok mendengar cerita yang ibu mereka olah daripada membaca tulisan-tulisan yang mungkin buat mereka bosan.
Semasa cuti persekolahan yang lepas, apabila dalam perjalanan ke Utara Malaysia, saya cuba menguji anak-anak dengan bertanya tentang peta Malaysia, negeri serta ibu negeri di dalam Malaysia. Saya dan suami saling berpandangan bila jawapan anak-anak agak keliru dan lintang pukang. Mungkin mereka tidak diajar di sekolah tetapi kami menyangka anak-anak pastinya tahu. Dan saya mengambil peluang sepanjang perjalanan menjadi cikgu Geografi sebentar, melukis peta Malaysia dan menjelaskan pada anak-anak dengan terperinci. Anak-anak amat suka dan teruja pula untuk belajar memandangkan mereka telah pergi ke kebanyakkan negeri-negeri di Malaysia, masing-masing dengan nota di tangan mencatat dan menulis. Satu kelebihan anak-anak saya, mereka suka mambawa nota kecil dan pencil apabila keluar dan selalunya saya lihat mereka mencatat, buat kuiz, melukis atau menconteng.
Semoga kita menjadi ibu yang tidak akan pernah berputus asa dalam mendidik anak-anak.
InsyaAllah